Cabang

Sabtu, 9 Oktober 2010

Bahasa Doa Di Ambang Bulan...

SETELAH dirisik dan mendapat perhatian yang luar biasa terhadap hasil kecil ini, maka wajar segala kebaikan itu dikongsikan bersama-sama. Maka Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 ini, saya ingin berkongsi rasa cinta dengan doa yang digubah dan dideklamasikan untuk Tuhan sewaktu Pelancaran BBK 2010 Peringkat Kebangsaan di Ipoh, Perak, negeri kelahiran di Stadium Indera Mulia 5 Oktober 2010 yang lalu.

Sekebun kemaafan kerana tidak berkesempatan menyediakan teksnya kepada yang berbisik meminta untuk dimanfaatkan bersama. Ya, moga bulan mengambang penuh akan bahasa cinta kita kepada Tuhan.

Ya Allah, Tuhan sumber cahaya,
Tuhan yang menerangi gelita semesta,
Limpahkanlah selawat dan salam atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, Nabi yang mulia.
Selawat daripada Nur milik-Mu yang indah tiada tara
Juga tidak lupa kepada keluarga Baginda serta para sahabat yang mulia,
Didoakan limpahan yang sama, limpahan selawat dan salam sejahtera.

Ya Shafi Ya Kafi ya Mu’afi,
Hanya kepada-Mu jua kami panjatkan syukur yang tidak terperi
Bertemu sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan
Pada pagi yang indah berseri,
Moga segala yang diatur tiada yang cacat, bahkan sempurna berseri,
Majlis tersusun lancar dalam suasana yang harmoni,

Ya Allah, Engkaulah Tuhan, wali pedoman.
Kami pohon ya Allah sempena Bulan Bahasa Kebangsaan,
Engkau muliakanlah bahasa Melayu bahasa kebanggaan
bak gunung yang gagah di kemuncak awan,
Dari jauh, dipandang teguh,
Bila dekat, tersergam kebesaran.

Ya Allah kukuhkanlah dan semarakkanlah Malaysia
dengan 1bahasa, 1bangsa dan 1negara di puncak jaya.

Ya Allah, Kamilah gunung yang obornya tetap menyala.
Tidak ‘kan padam biar tengkujuh bermaharajalela,
Menyuluh saat gelita dengan kalam pendeta dan lidah pujangga.

Ya Allah, Kamilah gunung nusa
Tulang penyambung warisan bangsa
Sedarkanlah kami andai terlupa,
Kejutkanlah kami andai masih terlena.
Agar gagah mempertahankan sila bahasa, pekerti rumpun bangsa.
Ya Allah, kamilah gunung sejantung kukuh tinggi menabur budi
Puncaknya mencolok dada langit, pangkalnya memeluk peribadi insani

Ya Allah sempena bulan bahasa kebangsaan ini
Kami memohon keampunan dan doa munajat.
Buat para pemimpin, tokoh pujangga, pendeta, guru-guru dan juga sahabat
Pinjamkanlah kami tokoh cendekia yang hebat,
Di dadanya ada jiwa, akalnya bitara, bertinta makrifat,
Sesungguhnya cintanya tidak pernah khianat.
Kukuh, teguh terus terpelihara hingga ke akhir hayat.

Maka dengan segala permintaan itu Ya Allah,
kami pohon, perkenankanlah segala hajat,
Ya Qadial Hajat,
Ya sohibusyafaat
Ya rafi’uddarajat.

Wasallallahu ‘ala saidina muhammad wa ‘ala alihi al-tahirin wat Tahirat
wal Mukminin wal Mukminat birahmatika Ya Arhamarrahimin wal hamdulillahi rabbil alamin.

Azman al-Kurauwi
5 Oktober 2010
Indera Mulia, Ipoh
Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)