SELAYANG - Satu laporan polis dibuat kelmarin selepas kerap menerima panggilan telefon dan pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah.
Ketua Wanita MCA Cawangan Taman Selayang Jaya, Jessie Ooi mengakui
mengalami sedikit trauma apabila beliau kerap menerima panggilan telefon
dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah daripada individu tidak
dikenali.
Menurutnya, beliau mula mendapat panggilan dan SMS lucah tersebut sejak
Mei lalu namun kebelakangan ini gangguan tersebut semakin kerap
sehingga menimbulkan kebimbangan ke atas diri dan keluarganya.
“Saya menerima gangguan daripada lima nombor telefon berbeza dan salah
satunya pernah mengganggu lebih 20 kali sehari," katanya kepada Sinar
Harian, semalam.
Jessie tidak menolak kemungkinan pihak yang mengganggu terdiri
penyokong tegar calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya akan
datang atau individu yang sengaja menimbulkan provokasi.
“Salah seorang memaklumkan dia diarahkan oleh seseorang untuk
mengganggu saya dan tidak takut apabila saya memaklumkan akan membuat
laporan polis.
“Sebelum ini, permasalahan itu dibiarkan kerana terlalu sibuk dan
menganggapnya sebagai senario politik tetapi kebelakangan ini semakin
teruk menyebabkan saya perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata, bimbang gangguan panggilan dan SMS lucah itu berlaku,
satu laporan polis telah dibuat kelmarin bagi menjamin keselamatan diri
dan memohon perlindungan daripada pihak berkuasa.
“Kesemua nombor tersebut telah diserahkan kepada polis dan berharap
siasatan dapat dijalankan dengan mengenal pasti dalang yang
bertanggungjawab membuat gangguan,” katanya.