Cabang

Selasa, 23 Februari 2010

Hukuman Sebat Memalukan Kerana Tidak Ikut Syar'iah- TG Abd Hadi Awang

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR)menyifatkan perlaksanaan hukuman sebat terhadap tiga wanita Islam baru-baru ini sebagai tindakan yang memalukan umat Islam secara keseluruhannya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, proses perlaksanaan hukuman berkenaan tidak mengikut undang-undang syariah yang sebenar.

"Apa yang berlaku memalukan umat Islam kerana proses perjalanannya tidak mengikut syariah Islam.

"Mahkamah Syariah masih lagi dibelenggu oleh peraturan yang tidak membebaskan mereka melaksanakan undang-undang syariah yang sebenar," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pendirian Pakatan Rakyat berhubung isu hukuman sebat ke atas tiga wanita di Penjara Kajang, Selangor pada 9 Februari lalu.

Ketiga-tiga wanita berusia antara 18 hingga 20-an itu menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah dengan disaksikan 13 orang, termasuk Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Mengulas lanjut Abdul Hadi berkata, proses kehakiman perlu menjadi perkara asas dalam menentukan sesuatu hukuman.

"Bila kita bincang mengenai hukuman sebat, yang peting ialah proses kehakiman, bagaimana pengakuan dibuat.

"Adakah ia dibuat dengan rela, bagaimana mereka melakukan kesalahan itu, adakah kerana kejahilannya... banyak aspek yang perlu diambil kira," katanya.

Selain itu, Abdul Hadi turut mendakwa Barisan Nasional (BN) sengaja menjadikan isu hukuman sebat syariah berkenaan sebagai agenda politik murahan bagi meraih sokongan pengundi terutamanya masyarakat Islam.

"Saya melihat tindakan itu lebih bersifat politik murahan BN untuk mempengaruhi pengundi-pengundi Islam," katanya.

Pada sidang media yang sama, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa gabungan pakatan berkenaan menghalang ahli dan pimpinannya mengkritik kepimpinan parti.

Menurutnya, semua ahli diberi ruang yang luas untuk menyuarakan pandangan mereka berhubung pelbagai isu.

"Mereka boleh komen tentang mana-mana pemimpin, kalau nak kata mereka tak diberi ruang itu tak benar," katanya.

Ditanya sama ada beliau berpendirian bahawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara terbuka, beliau berkata: "Bukan soal patut atau tidak, ada ruang dalam parti yang boleh mereka suarakan.

"Saya tak pernah sebut tak boleh, tapi biar munasabah, kalau panggil rakan kita komunis...itu luar daripada batas tatasusila dan adab."

Zulkifli dan Tan masing-masing dirujuk kepada Lembaga Disiplin PKR kerana mengkritik keras kepimpinan Pakatan Rakyat.


sumber dari MstarOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)