Wan Nordin Wan Yaacob
KEPALA BATAS, 19 Dis: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan apa yang berlaku terhadap Ketua Pembangkang dan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat 16 Disember di Parlimen lalu sebagai 'pembunuhan karakter' oleh Umno/BN. Peristiwa ini katanya sama seperti ketika Parti Negara dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar yang mana Allahyarham Onn difitnah oleh pemimpin Umno ketika itu untuk menutup perjuangan bekas pengasas Umno itu, kata Wan Azizah.
Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 2000 perwakilan sempena Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua dekat sini pagi ini. Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyampaikan ucapannya.
Kini ujar Wan Azizah, Umno/BN tersepit setelah Pakatan Rakyat menerajui beberapa negeri termasuk di Perak yang akhirnya dirampas secara 'keji' oleh mereka. Apa yang mereka (Umno/BN) lakukan, semuanya ditutup oleh media mereka, sebaliknya sedikit kesilapan Pakatan Rakyat akan diperbesarkan, katanya. Di Parlimen 16 Disember lalu, Umno/BN mengenakan tindakan penggantungan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Azmin Ali (Gombak), Sivarasa Rasiah (Subang) dan Karpal Singh (Bukit Gelugor), katanya.
Penggantungan bukan kerana empat ahli Parlimen tersebut bersalah, sebaliknya kerana memperjuangkan isu pengkhianatan Umno/BN ke atas rakyat dalam isu pelantikan agensi perunding, APCO Worldwide dengan bayaran kontrak RM77 juta, katanya. Pakatan Rakyat membantah penggunaan khidmat APCO bukan kerana soal kepakaran, sebaliknya kerana agensi itu adalah proksi Israel, katanya.
Namun ujar Wan Azizah, Umno/BN terus menerus menggunakan kuasa yang ada mempertahankan tindakan mereka melantik firma dari Israel itu tanpa memperdulikan suara rakyat. Baginya, pemimpin Umno/BN hanya leka memperjuangkan kekayaan, memperkayakan kroni dan mempertahan apa sahaja kesalahan mereka meskipun terpaksa membelakangkan undang-undang negara.
Berdasarkan kepada senario yang ada hari ini dengan tekanan ekonomi, sosial yang melampau dan penzaliman yang berlaku, beliau mengajak rakyat bersama Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan yang ada kini kepada sebuah kerajaan yang jauh lebih mementingkan hak rakyat. HarakahDaily
Assalamualaikum,
BalasPadamSebagai orang asing saya mengikuti perkembangan di Malaysia dan berharap agar segala sesuatu berjalan dengan baik dan damai.
Salam