Cabang

Sabtu, 20 Ogos 2011

Tazkirah 20 Ramadhan : Ceh ! Sudahlah menumpang....


Cuba tuan-tuan bayangkan, apabila tiba-tiba ada tetamu datang ke rumah tuan-tuan dan ingin menumpang bermalam buat sehari dua kerana urusan kerja....

Datang pula dengan sehelai sepinggang tanpa duit poket barang sekupang....dengan berbagai alasan.

1) Pertama, datangnya tidak diundang tapi kerana kasih sesama insan tuan-tuan turutkan walaupun hati merengkam.

2) Kedua, pada waktu kedatangannya tuan-puan kesibukan dengan urusan sendiri yang jauh lebih penting. Tapi tuan-puan luangkan untuknya. Anak dan isteri melopong meregang gusi.

3) Ketiga, tetamu itu bukanlah kenal sesangat malah baru sekali pernah bertemu di suatu keraian.

4) Segala kain baju tuan-puan habis dipakainya seumpama mak bapak dia yang belikan.

5) Mandi dan tidurnya pun di bilik utama tuan-puan. Tak kira siang malam diredahnya.

6) Makannya tuan-puan perlu siapkan ayam, sotong, udang dan ketam. Pasti siakap atau kerapu jadi pilihan.

7) Akhirnya, setelah habis urusan kerja tetamu itu pun balik meninggalkan tuan sekeluarga tanpa ada rasa kesal dengan tingkah lakunya. Dengan tiada rasa malu berhajat untuk bertandang lagi ke rumah tuan-tuan di lain tahun,itupun jika kesampaiian.

Apakah yang tuan-puan akan lakukan pada tetamu itu ?

Tolong tuan-puan pendam dan simpan dalam-dalam....

Sekarang, cuba pula tuan-puan realisasikan kehidupan seharian di dalam dunia ini....Siapa yang punya?

Tuan-puan adalah penumpang dan terus menumpang bukan sehari dua, malah berpuluh-puluh tahun tinggal di dunia ini sehinggalah tuan-puan mati pun diberi tumpang sementara di alam kubur....

Lebih lagi, tuan-puan sebenarnya diundang bahkan dialu-alukan oleh para malaikat ke dunia ini semata-mata untuk mengimarahkannya hingga ke segenap penjuru asalkan mengikut peraturan Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Perlembagaan yang ditentukan Tuan sekelian Alam....


1) Hidup sebagai penumpang yang sentiasa patuh dengan peraturan Tuannya.

2) Tidak melakukan perkara maksiat yang membuatkan Tuannya murka di hari kemudian.

3) Melakukan aktiviti harian mengikut peraturan yang ditetapkan Al-Quran milik Tuannya.

4) Bersosial dengan kaedah yang ditentukan secara jelas dalam segala segi oleh Al-Quran supaya tuan-puan bersosial dengan menjaga adab dan zuriat yang dilahirkan.

5) Bermuamalat mengikut panduan Al-Quran supaya tuan-puan berlaku adil dan saling tolong menolong dalam perkara kebaikan yang menguntungkan.

6) Bernikah berlandaskan syariat Al-Quran dalam memilih pasangan yang mana halal dan yang diharamkan sehingga tuan-puan menuju ke alam perkahwinan dengan akad yang dibenarkan. Bagaimana meraikan ahli keluarga baru di kalangan tuan-puan.

7) Berhukum (Jinayat) mengikut garis had yang ditetapkan Al-Quran supaya segala kemaslahatan dapat diadili secara saksama dan berhikmah. Pengajaran yang boleh diambil daripada hukum yang tertegak. Hudud bukan hanya soal potong tangan malah ianya merangkumi segala aspek kehidupan kerana berpuasa dan ke Mekah juga ada had-had yang ditetapkan. Cumanya, ada yang boleh dilakukan secara bersendirian dan juga secara berkumpulan (jamaah).

8) Bernegara atau berpolitik juga tidak terlepas daripada mengikut panduan dan kaedah-kaedah yang dihalalkan oleh Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W sehingga dalam memilih pemimpin yang akan menjadi payung dalam mengharungi kehidupan seharian. Bukan sahaja di dunia, bahkan memilih pemimpin yang akan jadi pemandu tuan-puan di akhirat kelak.wallahua'lam.

nota kaki : Setelah tuan-puan mengharungi keindahan ramadhan ini, adakah tuan-puan merasa sudah cukup amalan yang dilakukan setakat ini? Sudahkah bersedia untuk memasuki fasa akhir yang jauh lebih panas? fasa yang tuan-puan harap dijauhkan daripada panas api neraka....

Dengan doa dan harapan tuan-puan agar dimasukkan ke dalam golongan yang benar-benar 'fitrah' menjelang 1 Syawal nanti. Sehingga tuan-puan dibenarkan terus menumpang di dunia ini dan masih dipilih menjadi tetamu Tuannya di ramadhan yang akan datang....

Mana lebih malu, layanan tuan-puan ketika menjadi tuan rumah kepada tetamu yang sehari dua itu ataupun ketika menjadi tetamu Allah di muka bumi ini selama ianya dipinjamkan.Wallahu sami'un a'lim.

Pesan juga buat diri sendiri.....amin ya Rabb.


1 ulasan:

  1. Salam syeikh, minta copy ok...untuk renungan&tatapan teman2 yang lain...

    Jazakallah Hukahairan...

    BalasPadam

cetusan ranting 1 (terkini)