Cabang

Jumaat, 26 November 2010

Ketumbit Di Hati....


MENGIKUT Kamus Dewan ketumbit ialah bintil atau tembel pada mata. Sudah sebulan mata kanan ni tumbuh ketumbit. Mata putih kadang-kadang kemerahan. Pedih sesekali. Mata berat lagi penat. Teringat kata ibu, mata tumbuh ketumbit sebab mengintai anak dara orang. Ada juga yang kata, sebab mengintai orang buang air besar.

Bukan, bukan! Mata berketumbit ini bukan sebab itu. Tidak ada kena mengena dengan tabiat mengintai. Semalam sudah ke klinik. Kata doktor, bintil mata kanan ini bukanlah ketumbit tetapi membengkak disebabkan saluran darah tersumbat. Lega mendengar suara lembut doktor yang memujuk segala kebimbangan.

Tuam dengan tuala yang suam, katanya. Sehari tiga kali, tambahnya lagi. Doktor wanita itu kemudian mencadangkan Chloramphenicol Eye Ointment untuk disapu, juga tiga kali sehari. Habis RM35. Pujuknya RM15 dan ubatnya RM20.

Aduh, kalau tumbuh ketumbit atau mata bengkak semua orang nampak. Biarpun kecil. Tetapi ketumbit di hati, siapa yang tahu? Walaupun kecil, pedih, merah, tak selesa namun segala-galanya biarlah kubawa ketumbit hati itu hingga ke mati. al-kurauwi

1 ulasan:

  1. Kalau di Jakarta disebut "bintitan", dan
    menurut orang tua penyebabnya adalah karena
    kita (pria) mengintip perempuan telanjang.

    Tapi yang jelas rasanya tidak enak.

    BalasPadam

cetusan ranting 1 (terkini)