Cabang

Jumaat, 30 Ogos 2013

Apalah erti Merdeka jika jenayah berleluasa....

MASIH  terlalu kecil, lebih kurang empat atau lima tahun, saya tidak tahu apa-apa tentang merdeka. Apabila ada orang lalu di hadapan rumah berteriak “merdeka!”, saya dan kawan-kawan pun menjerit sama “merdeka!”

Bila ditanya abah tentang perkataan baharu itu, dia cuma berkata: “Merdeka ertinya hidup senang, makan sedap, tidak ada gaduh.”

Sebagai budak hingusan, kesenangan dan kesedapan saya dan rakan-rakan sepermainan ketika itu ialah apabila dapat keluar waktu pagi dengan lastik tersangkut di leher, masuk dalam belukar dan mengacau burung ‘wak-wak’ mengeram telur.

Suka benar sekiranya dapat melastik haiwan tersebut.

Penat memburu burung, kami terjun Sungai Ring yang memisahkan dua kampung. Berendam dalam sungai sambil melihat wanita dan anak gadis membasuh pakaian.

Seronok juga melihat seluang dan sepat berkejar-kejar dalam air yang jernih dan segar. Itulah air mandi, air mencuci dan air minuman. Sungai itu sumber rezeki, sumber kehidupan.

Keseronokan dan kesedapan juga buat saya apabila apek aiskrim lalu, menggoyang loceng ‘ting, ting, ting’, dan berhenti betul-betul bawah pokok mempelam di halaman rumah.

Saya dapat aiskrim potong, hujungnya ada kacang merah. Lemak, manis, dingin, hmmm...inilah merdeka.

Dunia menjadi lebih luas apabila saya masuk darjah satu Sekolah Kebangsaan Sawah Ring. Kawan semakin ramai, bertambah banyak yang saya tahu, termasuk erti merdeka yang diberitahu oleh Cikgu Manisah, guru yang mengajar subjek sivik. Ayat dan penerangan berbeza, tetapi maknanya lebih kurang sama seperti yang diberitahu abah.

Apabila masuk sekolah menengah di Bukit Gambir, fikiran semakin terbuka. Kawan semakin ramai, bukan sahaja Melayu tetapi juga Cina, India, Bengali. Makan di kantin bersama, main bola bersama, malah gaduh pun kerap juga.

Gaduh, baik semula, gaduh semula, baik semula. Tidak kira apa bangsa, kami betul-betul seronok berkawan. Langsung tidak ada rasis.

Sebenarnya orang kampung saya sudah biasa hidup dengan kaum-kaum lain. Beli barang keperluan di kedai mamak hujung kampung.


Tampal tiub basikal di kedai Cina. Potong rambut di kedai India. Ah Boon masuk kampung setiap hari membeli getah buku dan skrap.

Walaupun dituduh dia tipu mata dacing, tidak pernah sekali dia dipukul orang kampung.

Hari raya baru lalu, Ah Boon datang ke rumah, bukan untuk membeli skrap, tetapi untuk makan ketupat. Dia tidak lagi menjadi peraih getah, tetapi selalu berkunjung untuk berbual dengan abah. Bagi abah dan Cina tua itu, kehidupan masih tenteram macam dulu-dulu. Mereka tidak tahu erti rasis, tidak ada rasa perkauman.

Tetapi jauh di lubuk hati, saya sudah kehilangan keseronokan dan kesedapan dulu-dulu. Sudah menghampiri usia 60, aiskrim potong tidak lagi satu kesedapan, malah satu musibah bagi orang kencing manis.

Kampung saya di Hulu Muar itu tidak lagi terpencil, sebaliknya sudah menjadi penempatan super moden dengan segala prasarana menyamai Kuala Lumpur.

Sungai Ring bukan lagi sumber kehidupan. Akibat pembangunan selepas merdeka, airnya keruh berkeladak dengan seribu satu bahan buangan dan sisa toksik.

Seperti sungai, saya juga terancam dalam meneruskan kehidupan harian. Sekarang cakap dan tulis silap sedikit, akan dicap rasis.

Pemain-pemain politik acap menggunakan istilah tersebut untuk menjadi wira kaumnya.

Setiap hari orang bercakap tentang keamanan, tetapi setiap saat terasa tidak aman. Pendatang tanpa izin menyusup masuk, mengganggu kita. Orang kulit hitam Afrika bukan sahaja kurang ajar, malah merompak dan merogol orang kita.

Jenayah berlaku setiap detik di hadapan mata. Sana-sini orang bertembak. Rasuah tahap mega, penyelewengan, ketirisan, penipuan dan seribu kepincangan lagi sudah bagaikan tidak terkawal.

Apa pun di sinilah saya lahir, membesar dan menjadi manusia. Tidak kira apa jua keadaan sekarang, inilah satu-satunya negara saya. Tidak ada tempat lain yang saya cintai.

Di bumi inilah jeritan pertama saya ketika keluar dari rahim ibu. Di sini jugalah – sumpah, tidak ada tempat lain – saya berhasrat untuk mengakhiri jeritan. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan!
SH
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)