SEPANG: Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Ketibaan Dr Manmohan yang diiringi oleh isteri Gursharan Kaur disambut oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K. Devamany.
Lawatan itu sebagai membalas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India pada Januari lepas, selain sebagai usaha memperkembangkan lagi hubungan dua hala Malaysia-India.
Esok, Dr Manmohan akan diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat delegasi di mana kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan isu berkaitan hubungan dua hala, rantau dan antarabangsa.
Najib dan Dr Manmohan juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani beberapa perjanjian kerajaan dan memorandum persefahaman.
Selepas itu, Najib dan Dr Manmohan dijadual melancarkan mesyuarat pertama Forum Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia-India di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Dr Manmohan dan isteri juga akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Najib dan Dr Manmohan kemudian dijadualkan melancarkan 'Little India' di Brickfields, yang merupakan salah satu kemuncak atur cara lawatan itu.
Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan mengadakan majlis jamuan malam untuk meraikan tetamu itu di Seri Perdana, Putrajaya.Dr Manmohan dan delegasi dijadualkan berlepas ke Hanoi, Vietnam pada Khamis petang. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan