Cabang

Selasa, 24 Januari 2012

Bebas Palestine dan Kemenangan Ikhwan di Mesir....

Pilihanraya Mesir Bukti Rakyat Minat Parti Islam

KUALA LUMPUR, 23 Jan: Kemenangan besar yang dicapai oleh parti-parti beraliran Islam di Mesir pada pilihanraya Parlimen di negara itu merupakan satu tamparan hebat bagi rakyat negara ini jika tidak menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Kemenangan parti-parti Islam di Mesir itu jelas memberikan isyarat bahawa majoriti penduduk dunia kini mulai memberikan kepercayaan kepada parti Islam untuk memerintah mereka berbanding parti-parti lain.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan At-Tantawi berkata, sebelum keputusan pilihanraya Parlimen Mesir diumumkan kelmarin, penduduk di beberapa buah negara lain di seluruh dunia sebelum ini telah pun menunjukkan minat masing-masing kepada parti-parti Islam.

Menurutnya, perkembangan tersebut jelas menunjukkan abad ini merupakan abad kebangkitan Islam dan ia menepati kata-kata ulama-ulama kontemporari termasuk Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Katanya, oleh itu, rakyat negara ini juga perlu bangkit bersama penduduk di negara-negara lain di seluruh dunia dengan memberikan kepercayaan kepada parti Islam untuk memerintah mereka bagi menyokong kebangkitan Islam.

"Jika tidak, rakyat negara ini pasti akan ketinggalan, walaupun arus kebangkitan Islam sudah mula tercetus di tanah air kita sejak akhir tahun 1980-an lalu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily di sini hari ini.

Sebelum ini, menurutnya, rakyat negara ini telah sekian lama dimomokkan oleh Umno BN kononnya golongan ulama tidak boleh menjadi pemimpin bagi sesebuah kerajaan.

Katanya, momokan itu menjadikan golongan ulama di tanah air terasa rendah diri walaupun hakikat sebenarnya golongan ulamalah yang lebih layak menjadi pemimpin.

"Tetapi kemenangan parti-parti Islam di Mesir dan di negara-negara lain sekarang jelas menafikan pandangan negatif Umno BN itu, sebaliknya orang ramai di seluruh dunia ternyata lebih meyakini kemampuan golongan ulama menjadi pemimpin berbanding bukan golongan ulama," tegasnya.

Dari segi hakikatnya, tambah beliau, golongan ulamalah yang lebih berkelayakan menjadi pemimpin kerana ia sejajar dengan ilmu dan kewarakan yang ada kepada mereka.

"Orang ramai bagaimanapun menjadi terkeliru dengan realiti itu disebabkan momokan Umno BN, tetapi dengan perkembangan terbaru yang berlaku di Mesir dan di beberapa buah negara lain mutakhir ini diharap akan menyedarkan kembali rakyat negara ini dengan perkara itu," ujarnya.

Beliau berharap agar golongan agama dan ulama di tanah air turut sedar dengan hakikat itu, dengan turut turun ke tengah masyarakat bagi menyedarkan orang ramai agar melakukan perubahan terhadap landskap politik tanah air pada PRU Ke-13 nanti.

Negara kita, tegasnya, telah sekian lama berada di bawah pemerintahan BN, manakala BN pula ternyata gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sehingga menyebabkan pelbagai kepincangan berlaku di negara ini.

"Jadi sekarang tibalah masanya bagi golongan agama dan ulama turun ke tengah masyarakat bagi membetuli kepincangan itu termasuk dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan sosial demi kepentingan negara dan rakyat," katanya.

Beliau menyarankan golongan agama dan ulama di negara ini agar tidak lagi terasa rendah diri, segan dan malu-malu untuk berbuat demikian bersama aktivis lain kerana itu semua adalah tanggungjawab mereka sendiri yang mesti dilaksanakan dengan baik.

Jika tanggungjawab itu dilaksanakan dengan baik dengan niat kerana Allah, beliau yakin rakyat negara ini akan sedar tentang kepentingan mereka menyokong PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU Ke-13 akan datang, bagi membolehkan mereka bersama-sama melakukan perubahan di negara ini ke arah yang lebih baik
.HD

nota ikhwan : Struktur dan organisasi parti islam di Mesir jauh lebih tersusun dan berkebajikan berbanding parti-parti islam di seluruh dunia. Dalam menghadapi tekanan daripada pemerintah Hosni Mubarak dengan sokongan agen Mossad Israel selama bertahun-tahun, mereka masih mampu membina hospital,universiti,rumah kebajikan dan memberi biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara.

Pas perlu istiqamah dengan perjuangan islam disamping mengisi beberapa lompang yang ada supaya rakyat lebih meyakini pemimpin-pemimpin mereka dapat menyediakan alternatif yang jauh lebih baik daripada yang rejim Umno tinggalkan,insyallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)