Cabang

Selasa, 16 November 2010

Apa Persiapan Kenderaan Kita Ketika Ke Mahsyar Nanti....


Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.

Allah S.W.T berfirman;

“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar: ayat 2

Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:

“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”.

Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban).

"Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” -Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim.


Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;

1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.

2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.

3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.

4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.


Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut; Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia.

Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.

Maksud Ayat: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil.

Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.

wallahua'lam.

1 ulasan:

  1. salam eidul adha....

    mudah2an kita mendapat penuh keberkatan dengan binatang yang dikorbankan semata-mata kerna Allah supaya ianya dapat dijadikan kenderaan untuk menuju ke padang Mahsyar...

    moga kita juga akan mendapat syafaat Nabi Muhammad S.A.W supaya berlindung dari golongan yang di antaranya senget ketika berjalan ke sana nanti kerna tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya...

    dan bukanlah kita dari golongan orang-orang yang berjalan dengan mukanya ketika melintasi Mahsyar..wana'uzubillah min zalik

    BalasPadam

cetusan ranting 1 (terkini)