Cabang

Jumaat, 8 April 2011

Mengenal Gelita

Sesudah gelita sebentar dek terpadam cahaya, anak-anak menarik nafas lega. Bimbang sungguh apabila nikmat cahaya hilang daripada pandangan mata. Apabila malam kehilangan cahaya, saya tiba-tiba teringatkan bonda.

Dahulu, sewaktu di desa, sebelum cahaya elektrik berselirat masuk ke perut rumah, lampu kalimantang yang dihidupkan oleh generator kerap benar terganggu. Mata anak-anak bonda tidak mudah untuk mengantuk jika tubuh memaksa tidur dalam gelita.

Tanpa dipanggil, anak-anak akan mengelillingi bonda di tiang seri dengan sebatang lilin yang cukup menyuluh wajah Bonda yang lelah dipagut oleh cahaya siang. Terngiang-ngiang pesan bonda pada kematian. Terdengar-dengar pesan bonda pada kegelapan alam barzakh. Sayup-sayup suara parau bonda menggayakan suara malaikat Mungkar dan Nakir. “Ma Rabbuka!” ajuk Bonda.

Anak-anak pun memeluk lutut ketakutan dan bulatan semakin mengecil merapati tubuh bonda. Dan iman pun terhitung-hitung akan pahala. Sudah seberat manakah? Hatipun mengikat cita-cita mahu amal diganda agar mampu menyuluh kehidupan yang pasti di alam baqa.

Bonda tidak sedikit pun bercerita tentang hantu berkaki panjang atau pontianak tersesat pulang atau pocong yang terikat dengan kain kapan.

Sebelum cahaya kembali, sebentar tadi, terkenangkan semula bait-bait pesan bonda. Cuba menenangkan anak-anak yang lebih kenal hantu daripada Tuhan yang satu. Mengenalkan anak-anak bahawa gelita juga suatu nikmat.

Mengulang semula pesan bonda kepada cucuandanya tentang kematian, tentang alam barzakh, tentang Mungkar Nakir dan tentang amal yang menyuluh kehidupan di alam baqa.-al-kurauwi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)