Cabang

Isnin, 9 Mei 2011

Doa Lelaki Berjanggut Pandak....


LELAKI BERJANGGUT PANDAK yang memesan dua keping roti canai dan teh tarik di hujung gerai cikgu itu dapat saya teka bangsanya melalui telor lidahnya. Yang pasti dia bukanlah orang Melayu.

Tubuhnya agak kurus, berkemeja putih dengan seluar panjang dan ketayap sulaman tangan yang bersih meyakinkan saya bahawa dia bukanlah lelaki gelandangan.

Lelaki berjanggut pandak itu, mencubit rotinya yang masih berasap dengan tiga jarinya satu demi satu bak perca kain yang dikoyak. Matanya berkaca-kaca barangkali sedikit lapar dengan pembuka doa.

Sebelum menjamah, lelaki itu meneguk teh tariknya yang sudah mula suam. Halkumnya bergerak turun naik, seteguk demi seteguk. Dua teguk, tiga teguk mengikut sunah Nabi, sapa akal saya. Saya berselera mencubit roti yang saya pesan sambil melihat lelaki itu menjamah sarapannya dengan tertib dan beradab sekali.

Belumpun habis separuh daripada roti keduanya, saya melihat lelaki itu sudah membasuh tangan. Tangannya yang sudah dikeringkan dengan tisu kemudian melurut janggutnya yang hitam. Tertangkap sepotong doa usai makan melalui gerak bibirnya yang nipis.

Sekonyong-konyong lelaki itu memandang baki sarapannya. Ada keluh di hujung nafasnya. Lelaki itu menadah tangan berdoa dalam bahasa Arab yang sangat saya mengertikan,

“Tuhan, andai rezeki yang tidak terhabiskan ini dibebankan dengan dosa, maka ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya aku cuai mengukur rezeki yang Engkau kurnia dengan saiz perut yang mengisi ruang nafsuku. Tetapi andai rezeki yang tidak terhabiskan ini menjadi mudarat kepada tubuhku, maka rezeki yang masuk ke dalam perutku itu Engkau jadikanlah ia berkat dan memberi upaya untuk beribadat!”

Saya yang terkesima mendengar, bingkas bangun sesudah meneguk sisa teh yang berbaki lalu mendahului lelaki itu ke kaunter bayar. Pantas saya berbisik kepada cikgu bahawa roti canai dan teh tariknya sudah pun saya jelaskan.

Saya melaungkan lafaz salam yang sedikit tinggi ke wajahnya yang terpinga-pinga dek melihat saya yang semakin jauh meninggalkan gerai cikgu, pagi itu. – al-Kurauwi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)