Tarikh
Pilihanraya Umum ke-13 masih dalam ramalan berbagai pihak. Beginilah
sifatnya demokrasi di Malaysia. BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa
penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada
menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah,
menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah
pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh
pilihanraya.
Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengandalikan pilihanraya menentukan tarikh pilihanraya. Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum. Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihanraya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja pilihanraya umum selesai diadakan.
Ada juga menetapkan kemudiannya,
tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum. Hanya negara yang
mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis
dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihanraya dalam
tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan
rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah
walaupun banyak melakukan kesilapan.
Di
negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin
kemenangan BN selama-lamanya. Maka kerajaan BN sahaja berkuasa
menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur.
Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh
pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan,
juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihanraya barulah diumumkan.
Termasuk
juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam
yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang
dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan
wajib muwassaa yang boleh ditangguh. Umno yang memisahkan politik
daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak
sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara
sekali pun.
Beginilah
nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit dengan
berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak
ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama ditempat beragama,
kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN. Namun kita
menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik.
Sistem
kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Soviet Union
hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis
mengubah pendekatan. Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam
kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara
Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan
pilihanraya sebelum pilihanraya lagi. Bahawa parti kerajaan pasti menang
mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut
ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir
di Myanmar.
Kita
mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun
pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan.
Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah
tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.
PAS
mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang
dirosakkan oleh Umno, atau tegasnya PAS ganti Umno, dan mengajak
masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan
Nasional. Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala
kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan. Walaupun
dimasa depan rakyat menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang
adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya
dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
PRESIDEN
PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan