Cabang

Sabtu, 19 Jun 2010

Detachment 88, Apco,Musa dan JI....


PULAU PINANG, 18 Jun: Ketua Polis Negara digesa mendedahkan nama pengganas dan mendakwa mereka ke mahkamah atau didakwa "merekacipta dan menyiarkan kenyataan palsu untuk memburuk-burukkan Islam dan umat Islam di negara ini."

Pengerusi kumpulan hak asasi manusia, Citizens International, S. M. Mohamed Idris (gambar) dalam kenyataannya mengutuk sekeras-kerasnya propaganda hitam yang didedahkan oleh unit Polis Indonesia Detachment 88 dan disiarkan dalam media tempatan dengan tajuk utama yang menonjol bahawa ulama Indonesia yang dihormati Abu Bakar Bashir didakwa membantu membiayai dan menyokong sarang pengganas bersenjata di Acheh.

Kini, polis Malaysia pula mendakwa kononnya “pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan kenyataan polis itu dan mendesak agar kalau ada, mereka didakwa segera.

"Ketua Polis Negara Malaysia juga mestilah menjelaskan mengenai laporan berita dalam akhbar harian tempatan bahawa “pengganas merancang untuk memusnahkan kuil Batu Caves di Kuala Lumpur dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang.” kata SM Idris.

‘Pengganas’ itu didakwa kononnya mempunyai hubungan dengan Al Qaeda dan Jemaah Islamiah, organisasi yang dilabelkan oleh Amerika Syarikat sebagai pertubuhan pengganas Islam.

Berita itu dipetik daripada ‘sumber perisikan’ yang tidak mendedahkan nama mereka dan ini merupakan taktik yang sering digunakan oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) dan Mossad Israel untuk menyebarkan propaganda hitam dalam media bagi memburuk-burukkan lagi imej Islam dan para penganutnya.

Lebih menarik lagi sasarannya adalah kuil Hindu yang menjadi tempat suci bagi orang India dan kuil Buddha bagi orang Cina, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ia merupakan cara yang paling baik untuk menyalahkan Islam dan umat Islam sebagai pembekal keganasan di mata pengikut kedua agama ini.

“Berita” yang amat membimbangkan ini melainkan disokong oleh bukti yang konkrit akan menimbulkan ketegangan antara orang Islam, Hindu dan Buddha," kata SM Idris.

Menurut SM Idris, Detachment 88 diwujudkan oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia yang menyediakan biaya dan latihan untuk pegawainya.

Atas alasan untuk memerangi keganasan, ia hanyalah merupakan alat kerajaan asing untuk mendakwa orang Islam yang berjuang untuk mempertahankan maruah umat Islam dan kedaulatan negara Indonesia.

Abu Bakar Bashir, kata kenyataan itu, menjadi penghalang kepada Indonesia untuk menjadi negara yang tunduk kepada Amerika Syarikat dan juga kepada ejennya yang menyalahtafsirkan ajaran Islam dan mengutuk penentangan oleh umat Islam terhadap dominasi dan hegemoni asing.

Kerajaan Amerika Syarikat dan Australia, melalui ejen mereka di dalam pasukan polis, pentadbiran dan media cuba untuk membabitkan Abu Bakar Bashir dalam aktiviti keganasan, dakwa SM Idris lagi.

"Mereka mereka-rekakan bukti untuk mengaitkannya dengan pengeboman Bali yang tidak dapat dipertahankan terhadap penelitian mahkamah. Beliau didakwa sebagai pengkhianat tetapi dibebaskan kerana kekurangan bukti.
"Bagaimanapun, beliau didapati bersalah kerana melanggar peraturan imigresen dan dipenjara tiga tahun, jelas untuk memuaskan kerajaan Amerika Syarikat dan Australia tetapi mereka masih tidak berpuas hati dan mengkritik keputusan itu dan menekan kerajaan Indonesia supaya bertindak ke atasnya," katanya dalam kenyataan itu.

Sekali lagi, tambah SM Idris yang juga Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Detachment 88 dilihat mereka-rekakan bukti terhadap Abu Bakar Bashir untuk memenjarakannya bagi memuaskan hati mereka.

"Kami menggesa Pejabat Peguam Negara Indonesia agar tidak terperangkap dengan Detachment 88 dan agensi perisikan Amerika Syarikat dan Australia dan mendakwa ulama yang amat dihormati itu.

"Tindakan seperti itu adalah bertentangan sama sekali dengan berjuta umat Islam dan bukan Islam yang amat menghargai keadilan," katanya.

harakahdaily

nota JI : 25 tahun dulu telah berlaku di Memali,bagaimana seorang pejuang Islam yang ingin melihat anak bangsanya hidup mengikut peraturan Al-Quran telah dibunuh dengan kejam demi 'survival' politik rakus dan beliau telah dilabelkan sebagai pelampau melalui propaganda media massa. Masih diteruskan hingga ke hari ini. wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)