Cabang

Khamis, 15 Julai 2010

Sasau Seorang YB...



Aku rasa terpanggil apabila membaca kesasauan seorang sahabatku dalam ruangan ini minggu lalu. Dalam Kamus Dewan Bahasa erti sasau ialah: Orang yang makan banyak.

Manakala pengertian sasau dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia ialah selain dari makan banyak membawa erti ‘kurang pikir.’

Maka bodohlah kami lima enam orang ini kalau terima makna ‘kurang pikir.’ Tapi yang jadahnya, cakap-cakap kami sekarang ini ramai pula yang kata ‘sasau.’ Kerana itu ada lebih baik aku nak hurai sedikit hal-hal kesasauan kami yang sudah lama lompat dan menjadi kelompok ‘kupang tembaga.’

Aku inginlah hendak minta maaf, terutama kepada etnik India, Cina, Benggali dan Melayu kerana akan kusebut perkara yang mungkin tak berapa sedap. Tapi ini pribahasa orang Melayu yang tidak tercatit dalam Kamus Pribahasa.

Orang Melayu apabila menganggap sesuatu perkara atau seseorang yang tidak terpakai langsung, dipribahasakanlah dengan:

Golok atau bantal Cina Kebun Melayu Basikal India Janda Benggali.

Apakah aku dan kawan-kawan aku, sejak kami beramai-ramai melompat kemudian mengeluar kenyataan akhbar, TV hingga kesaat ini, kami dianggap macam pribahasa di atas? Memang pun ramai yang anggap kami begini yang membawa erti kami ini tak terpakai sekupang pun, macam janda Benggali, macam bantal Cina, macam basikal India, macam kebun Melayu yang membawa rerti kalau bagi percuma pun siapa pun tak sudi, melainkan orang sasau jugalah.

Aku ini bukan calang-calang jadi YB. Tidak macam mereka, kodok lokhoi saja. Tapi sebenarnya bintang anugerah itu aku yang calon sendiri, aku hemoi-hemoi.

Selama aku dalam parti yang dikatakan sebagai pembangkang ini tidak selesa, tidak sepadan dengan gelaran yang aku terima. Orang bergelar macam aku, duduk sebelah sana sepatutnya. Aku sepatutnya genggam projek-projek mega..

‘You all akan jadi orang utama. Cakap you mereka dengar. You all boleh menggugat mereka. Cakap sepatah dalam TV, semua orang akan panggung kepala,” demikian rangsangan ketika tawaran dilempar kepada kami.”Projek untuk you all, petik saja boleh dapat.” kata mereka lagi.

Dan aku, mereka pun berilah tawaran paku longgar supaya aku bantai kapten aku kerana orang yang layak akulah. Akulah yang kononnya maha tahu sampaikan bulu ketiaknya. Maka aku pun diberi faktur-faktur yang lojik untuk aku bercakap. Tunjukkan emosi, bentukkan rupa cakap, bahasa badan, senyum lebar yang membuktikan aku ini seorang yang sayang Melayu. Buktikan aku ini pahlawan Melayu. Tapi jadahnya aku terlupa, aku yang menang dulu dalam banglo dan kondomunium bukan Melayu.

Yang aku nak sebut di sini, memang celaka dan haram jadah pun. Rupa-rupanya semua tak menjadi setelah aku dan kawan-kawan mengediang, membilas, merembat, mengejang betis melompat kuat. Adalah sekali kenyataan dalam TV dan akhbar yang meletup. Tapi yang meletup itu sipongangnya tak seberapa. Pihak parti yang mempelawa kami lompat, buat macam tak ambil berat. Cakap kami tak diendah. Pembangkang pula memang jembalang hangit, langsung tak respon pun cakap kami.

sambung lagi Azizi Abdullah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)