Cabang

Jumaat, 20 Ogos 2010

Tersentuh....Mati 'Berjemaah'


Malam ini, ya sudah masuk sepuluh hari Ramadhan melangkaui jajahan. Jika ada yang belum perasan, sudah suku bulan Ramadhan meninggalkan RahmatNya. Tiada yang aneh sepanjang sepuluh hari ini kecuali cerita tentang kematian sebentar tadi:


Lewat telefon bimbit, imam tua cepat-cepat menyongsong berita sebelum tengah hari bahawa ada jiran yang baru sahaja dijemput Ilahi. Bersungguh-sungguh imam tua memperkenalkan nama dan menceritakan rupa, namun sedikit pun tidak terimbas ke jemala. Sedang, rumahnya hanya langkau sebaris dua.


Lorong-lorong ke surau semakin sempit dengan deretan kereta pelbagai saiz. Surau kecil sudah dipenuhi ratusan, barangkali ribuan jemaah yang berkemeja dan berbaju batik,lelaki, wanita, tidak terkira. Setiap kali melintas, wajah mereka jarang pernah mata menyapa pandang.


Tengah hari itu, jika surau boleh berkata, pastilah rungutan menjadi seloka. Surau kecil, tidak pernah penuh barang satu saf, kali ini melangkah terpaksa beriring maaf. Ramadhan hanya melimpahkan manusia di waktu malam, sedangkan tengah hari itu, jemaah melimpah hingga ke tanah! Dari mana datangnya begitu ramai manusia? Soalan itu tidak terjawab hingga sempurna solat zuhur berjemaah.


Solat jenazah dijanjikan usai solat zuhur. Benar seperti yang dijanji. Sekujur tubuh dibalut kemas kurus menanti. Dan sebak menyelirat di pembuluh darah dengan simpati. Walaupun jenazah tidak dikenali, namun hanya hati yang berdengung dengan selawat dan puji Ilahi, moga jenazah diselimut dengan rahmat yang tidak bertepi. Kasihan, tidak cukup untuk memujuk anak-anak kecil arwah yang disorong waris ke sisi.


Sebelum surau ditinggalkan sepi kembali, sempat saya bertanyakan tubuh-tubuh asing yang masih menghantar pandang meningkap van jenazah yang belum datang. Bimbang juga, jika yang datang malaikat atau jin utusan. Jawab seorang lelaki sambil memaniskan muka bahawa mereka bukanlah siapa-siapa hanya ahli jemaah. Dan arwah, sebelum meninggal adalah sebahagian daripada jemaah mereka. Kata saya, "Syukur Tuhan, dia mati berjemaah!"- al-Kurauwi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)