Cabang

Sabtu, 2 Oktober 2010

Tambang Haji Akan Naik Lagi?

YAN: Tambang menunaikan haji bagi musim depan dijangka naik berikutan peningkatan kos perbelanjaan termasuk penginapan dan pengangkutan di Makkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata bagaimanapun Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan memastikan kenaikan itu tidak membebankan bakal jemaah musim depan.

Beliau berkata, satu kajian menyeluruh akan dilakukan pihak pengurusan Tabung Haji dalam tempoh terdekat untuk menilai semula kos yang bakal dikenakan pada musim akan datang bagi memastikan ia relevan.

"Kita akan buat kajian menyeluruh membabitkan kos pengangkutan dan penginapan sebelum melakukan penstrukturan semula kadar tambang berkenaan dan ingin saya tegaskan bahawa kos tambang haji jemaah Malaysia paling rendah berbanding Thailand, Brunei, dan Filipina.

"Kita perlu mengambil kira semua kos berkenaan kerana semua hotel berdekatan dengan Masjidil Haram sudah diruntuhkan Kerajaan Arab Saudi bagi membangunkan kawasan baru yang boleh menampung lebih tiga juta jemaah.

"Jadi, disebabkan bangunan dan hotel sedia ada diruntuhkan, maka kos perbelanjaan meningkat 25 peratus seperti yang dilaporkan Kerajaan Arab Saudi berikutan kenaikan kos penginapan dan pertambahan jemaah," katanya selepas Majlis Aidilfitri dan Penyampaian Sumbangan kepada Golongan Asnaf di Daerah Yan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata, Tabung Haji akan melihat kenaikan itu secara positif bagi menyeimbangkan antara kepentingan jemaah haji dan pendeposit Tabung Haji.
"Jika harga lama dikekalkan Tabung Haji terpaksa memberi subsidi sebanyak RM3,060 bagi setiap jemaah dan saya berpendapat jika berlaku kenaikan sekali pun ia akan difahami bakal jemaah," katanya.

Tambang haji dinaikkan pada musim haji tahun lalu kepada RM9,980 bagi Semenanjung, Sabah (RM10,110) dan Sarawak (RM10,065) ekoran peningkatan kos operasi, berbanding RM8,973 bagi Semenanjung, RM9,054 bagi Sabah dan Sarawak (RM9,096) pada 2008.

Sementara itu, menyentuh mengenai suntikan pelalian vaksin wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) kepada jemaah haji musim ini, Jamil Khir berkata, suntikan itu tidak diwajibkan bagi tahun ini.

"Bagaimanapun kita menggalakkan jemaah megambil suntikan pelalian berkenaan untuk mengelak risiko jangkitan kerana tempoh 40 hari itu dikira panjang," katanya.

Tahun lalu, Tabung Haji membiayai sepenuhnya kos suntikan vaksin wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) kepada 26,000 jemaah haji bernilai RM1.5 juta.BHOnline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)