Cabang

Ahad, 27 Mac 2011

Tindakan Musuh Sama Saja Walau Di Mana....

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 27 Mac: Seluruh penganut Islam hendaklah melihat semua kejadian yang berlaku dalam negara umat Islam di seluruh dunia adalah tindakan rangkaian musuh.

Mereka tidak melaksanakan semua perancangan mengikut kehendak sosok dan minda pemimpin gerakan musuh tempatan yang bersifat lokal semata-mata.

Ahli Majlis Syura Ulama, Ustaz Zaharuddin Mohamad berkata, perancangan musuh berlaku sejak lama dahulu dan kini mereka melaksanakannya.

Menurutnya, kerana itu apa yang berlaku di hampir semua negara umat Islam khususnya seakan-akan semuanya sama sahaja dari sudut perancangan dan tindakan.

Beliau berkata demikian ketika bercakap sebagai panelis dalam forum tentang Konflik Asia Barat; Kesan Pada Gerakan Islam di Malaysia, malam tadi.

Turut serta adalah Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan penulis sejarah Gerakan Islam Malaysia, Ustaz Fadley Ghani sebagai moderator.

Forum itu diadakan di Surau At-Taqwa, Seksyen 7, dekat sini.

Dalam pada itu, Ustaz Zaharuddin bimbang dengan kebangkitan di Mesir, ada pihak lain yang akan pegang kuasa meski rakyat yang bangun tetapi sosialis pula yang menjadi juara.

"Kita berharap keadaan sebegitu, tidak berlaku di negara ini," tegasnya.

Ustaz Zaharuddin tamat pengajian MA dalam bidang Ekonomi Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir dan mempunyai pengalaman belasan tahun di negara Arab khususnya Mesir.

Kebangkitan di Mesir dan kebanyakan negara Arab lain, ujarnya, adalah dari golongan muda terdiri daripada mahasiswa universiti atau mereka yang baharu sahaja tamat belajar di universiti.

Katanya, Malaysia lebih wajar bangkit terlebih dahulu dari Mesir kerana suasana di Malaysia lebih teruk dari Mesir memandangkan pelajar Mesir keluar universiti tidak mempunyai hutang.

"Golongan pesakit buah pinggang yang miskin boleh rawat hemodialisis di hospital kerajaan Mesir, di Malaysia mereka akan mati begitu sahaja jika bukan kakitangan kerajaan, orang kaya atau miliki takaful," katanya lagi.

Rakyat, tambahnya, perlu melihat yang bersalah dalam sistem ekonomi negara ini adalah kapitalis yang mencengkam duit rakyat tidak kira dari bangsa apa pun mereka.

Sebelum itu, Prof Redhuan berkata, kesemua kerajaan terutama di negara Islam, mereka menjadi kerajaan atau pemerintah selepas mendapat restu daripada musuh Islam di peringkat antarabangsa.

Beliau juga bangkitkan tentang sikap media yang masih terkongkong di negara ini berbanding dengan kebebasan akhbar di negara demokrasi lain.

"Akhbar dahulu mendidik pembaca tapi akhbar hari ini amat meloyakan kerana mereka sanggup memperbodoh-bodohkan rakyat.

"Sebab itu, saya sendiri tidak galakkan pelajar membaca akhbar meloyakan itu kerana mereka akan menjadi lebih bodoh daripada sebelum membacanya.

Beliau sendiri, katanya, hanya membawa balik akhbar meloyakan itu kerana hendak digunakan untuk membakar sampah di petang hari," tegasnya lagi.

Menurutnya, gerakan kebangkitan rakyat dalam negara ini masih berada di tahap mendukacitakan kerana ramai yang masih tertipu dan tertarik dengan kenyataan palsu kononnya negara ini terbaik.harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)