Tun Mahathir - "Saya sedih orang Islam berbunuh sesama sendiri"...
Bahagian Pertama
Semenjak penggulingan presiden pilihan rakyat Mesir, Dr Mohamed Mursi
pada 3 Julai lepas, lebih 300 nyawa terkorban, lebih 2,000 yang lain
cedera, manakala lebih 1,700 individu ditahan tanpa bicara termasuk
presiden Mesir yang pertama dipilih secara demokratik.
Bagi ramai pihak di Mesir, mereka melihat konflik berlaku adalah
rampasan kuasa pihak tentera yang disokong golongan Tamarrod daripada
rakyat Mesir yang telah memberikan legitimasi kekuasaan kepada Mursi dan
Kabinet yang dibentuknya.
Bagi pihak tentera dan Tamarrod pula, penggulingan Mursi merupakan satu
langkah demi menyelamatkan sistem demokrasi yang telah dicabul oleh
Mursi dan kumpulan Ikhwanul Muslimin dengan beberapa tindakan mereka
yang telah mencemarkan mandat rakyat kepada mereka.
Maka, untuk menjustifikasikan hujah mereka yang telah menyebabkan
perhimpunan kemuncak pada 30 Julai lalu, dua isu utama ditimbulkan,
pertamanya kegagalan Mursi untuk memulihkan keadaan sosioekonomi Mesir,
dan yang keduanya, usaha licik Mursi dan Ikhwan untuk membolot semua
kuasa di Mesir (Ikhwanatu Misr atau mengikhwankan Mesir) untuk
menegakkan agenda radikal mereka yang tidak menjaga kepentingan golongan
minoriti.
Maka, demi menyelamatkan Mesir dari diperintah oleh golongan radikal,
mereka terpaksa keluar beramai-ramai memaksa agar Mursi meletakkan
jawatan walaupun setelah memenangi Pilihan Raya Presiden setahun lalu
dengan undian hampir 52%, dan walaupun belum cukup tempoh mandat
diberikan kepadanya. Persoalannya, apakah benar Mursi gagal dan apakah
benar beliau menjadi alat kepada Ikhwan untuk membolot semua kuasa di
Mesir?
Gagal pulih ekonomi?
Hakikatnya, Mursi menerima bebanan yang terlalu besar daripada rejim
Mubarak untuk diperbaiki. Amat mustahil untuk menyelesaikannya dalam
tempoh setahun. Sewaktu mengambil tampuk pemerintahan, Dr Mursi terpaksa
menanggung hutang kerajaan Mesir yang lepas dianggarkan sebanyak 1,300
billion Egyptian Pound. Sewaktu Dr Mursi mengambil alih tampuk
kepimpinan, seramai lima juta rakyat Mesir tidak memiliki tempat
tinggal; kadar rakyat yang keciciran pelajaran melebihi 30 juta orang;
tujuh juta ibu tunggal rata-ratanya tidak ada pekerjaan tetap dan
mengharapkan sepenuhnya bantuan kerajaan. Ini hanya secebis dari isu
sosioekonomi di Mesir, ribuan lagi masalah terpaksa Mursi hadapi dalam
menjadikan Mesir negara stabil.
Malangnya, dalam keadaan getir seperti itu, pihak liberal, elitis
sekular dan saki-baki rejim Mubarak menangguk di air keruh. Semenjak
setahun Mursi dipilih rakyat, golongan pembangkang tidak pula berusaha
untuk bersama dengan beliau membangunkan negara, jauh sekali menghargai
apa telah beliau dan Kabinetnya lakukan. Apa yang berlaku sepanjang
setahun pemerintahan beliau, kumpulan pembangkang hanya berjaya
melakukan 50 kempen besar-besaran untuk memburuk-burukkan Mursi, di
samping penghinaan dan ejekan setiap hari di media milik mereka.
Dalam
tempoh setahun pihak pembangkang mengadakan sebanyak 7,709 protes di
seluruh Mesir sehingga merencatkan pembangunan; sebanyak 24 kali seruan
untuk perhimpunan sejuta rakyat agar keluar ke jalan mendesak Mursi
untuk meletakkan jawatan bermula beberapa minggu selepas Mursi dilantik.
Pemimpin dan kerajaan manakah yang boleh bertahan dalam keadaan seperti
ini? Hanya kerajaan diktator sahaja mampu mengendalikan kegilaan mereka
yang gila kuasa seperti ini. Namun, IM tidak sekali-kali akan
menggunakan kuku besi dan juga kuasa diktator, kerana ia bertentangan
dengan prinsip asas gerakan tersebut - menentang keganasan dan sistem
kuku besi!
Kegagalan pihak Liberal dan Tamarrod secara amnya untuk menerima
perbezaan dan menghormati mekanisme demokratik menunjukkan pihak sekular
dan liberal di Mesir tidak demokratik. Hal ini jelas terlihat pada
perancangan lama dan juga bersepadu mereka untuk menjatuhkan IM dan
Mursi semenjak keputusan Pilihan raya Parlimen dan juga semenjak hari
pertama Mursi dilantik. Antara hujah mereka, golongan Ikhwanul Muslimin
ingin menjadikan Mesir negara teokratik, maka IM berusaha
meng’Ikhwan’kan Mesir dengan menguasai kesemua institusi kerajaan.
Mereka juga menuduh IM memonopoli penggubalan perlembagaan agar Mesir
tidak bersikap sekular, walaupun dalam kumpulan penggubal perlembagaan
yang telah dibentuk oleh Parlimen, ia dianggotai oleh semua aliran,
termasuk golongan liberal, sekular, Kristian dan sosialis.
Akhirnya, hujah paling ampuh untuk menggulingkan kuasa dengan
mengatakan Mursi gagal memulihkan ekonomi Mesir, dan juga tidak mampu
memerintah Mesir. Persoalannya, jika Mursi ada kelemahan sekalipun, ia
bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya. Hakikatnya,
tiada presiden mampu mengubah sebuah negara pasca-revolusi dalam
sekelip mata. Persoalan lagi, apakah benar Mursi gagal melakukan apa-apa
perubahan untuk menyelamatkan Mesir?
Benarkah Mursi gagal?
Terdapat beberapa mitos berkaitan tempoh pentadbiran Presiden Mursi
yang sering dijaja pihak Tamarrod. Antara paling popular ialah keadaan
ekonomi Mesir semakin teruk pada zaman Mursi. Hal ini dapat dilihat
secara kasar pada krisis bekalan petrol, bahan bakar dan elektrik di
seluruh Mesir, terutama di Kaherah. Antara yang sering ditimbulkan juga
ialah tahap ekonomi keluarga di Mesir juga semakin parah setelah
revolusi dan setelah Mursi menjawat jawatan presiden.
Malangnya, kebanyakan tuduhan ini sama ada tidak berdasarkan bukti dan
angka-angka yang rasmi, ataupun ia berdasarkan angka-angka yang
dimanipulasi untuk menjustifikasikan tuduhan mereka. Hal ini telah
segera dibalas semula oleh pihak kerajaan pimpinan Mursi dan juga mereka
yang terlibat. Ini dapat dilihat dalam laman web
(http://www.morsifirstyear.com/en/) yang dibangunkan oleh para penyokong
Mursi dan juga laporan-laporan dari institusi-institusi kewangan
antarabangsa.
Walaupun mewarisi Mesir yang dipenuhi 1001 masalah sosioekonomi, dan
beliau juga mengalami pelbagai kesukaran dan halangan, bagaimanapun,
dalam tempoh setahun pentadbirannya, di dalam keadaan penuh kekangan dan
kelemahan, beliau berjaya membawa beberapa perubahan dalam pembangunan,
ekonomi mahupun keadilan sosial. Antaranya menyediakan peruntukan 100
juta pound Egypt untuk membantu hampir 500,000 ibu tunggal di seluruh
Mesir. Pada Julai 2013, 500,000 ibu tunggal tersebut menerima pencen 400
pound Egypt sebulan untuk menyara keluarga mereka. Malangnya, apabila
berlaku rampasan kuasa, pembiayaan tersebut dihentikan.
Kerajaan Mursi juga menghapuskan hutang lapuk yang ditanggung 52,200
petani kecil dan susah di pedalaman agar dapat memulakan hidup baru.
Dalam sektor kesihatan pula, kerajaan Mursi menyediakan insurans
kesihatan untuk 13.2 juta kanak-kanak di seluruh Mesir berjumlah 160
juta Pound Egypt. Manakala 1.2 juta rakyat pula menikmati perkhidmatan
kesihatan percuma. Dasar prihatin OKU kerajaan Mursi amat patut
diberikan perhatian. Antara langkah- mengurangkan yuran kesihatan di
hospital-hospital untuk beli ubat sebanyak 37%, dan potongan tambang
tiket keretapi 75% kepada warga OKU. Dasar seumpama ini tidak pernah
dikenali pada zaman rejim yang memerintah sebelum Mursi.
Dalam tempoh setahun juga kerajaan pimpinan Mursi berjaya menyediakan
sebanyak 45,388 rumah mampu milik untuk rakyat Mesir yang belum memiliki
rumah. Seramai 90,000 keluarga juga menikmati skim pinjaman untuk bina
rumah sendiri.
Antara usaha kerajaan Mursi untuk merangsang ekonomi Mesir ialah
menaikkan gaji kakitangan kerajaan berjumlah 6.4 juta orang. Peruntukan
untuk gaji para kakitangan kerajaan dinaikkan dari keseluruhan 122.8
bilion Pound Egypt pada 2011 kepada 172 bilion Pound Egypt untuk
tahun-tahun 2013-2014.
Kerajaan Mursi juga telah menyediakan sebanyak 593,000 peluang
pekerjaan baru untuk rakyat dengan belanjawan melebihi 3.5 bilion Pound
Egypt, dan ini merangkumi 5,611 pekerjaan untuk graduan menganggur.
Sepanjang pemerintahan Mursi, negara Mesir telah menyaksikan peningkatan
KDNK pada tahap terbaik berbanding tahun-tahun 2010-2011, iaitu purata
2.4% pada 2013 berbanding 1.8% pada 2011 dan 2012.
Malangnya semua pencapaian Mursi ini disembunyikan daripada pengetahuan
umum oleh media yang dimiliki oleh saki-baki rejim lama dan juga
golongan liberal. Sebaliknya, segala kelemahan yang diwujudkan oleh
saki-baki rejim sengaja diperbesar-besarkan agar mengaburi mata awam dan
rakyat yang naif serta masyarakat antarabangsa agar membina persepsi
bahawa Mursi dan IM gagal memerintah negara. Malang lagi dalam proses
memperbodohkan rakyat ini, golongan intelektual, politikus dan elitis
sekular Mesir yang anti-Mursi dan anti-IM juga terlibat...
sumber(SH)
cetusan ranting 1 (terkini)
Sedih hanya di mulut dihati tidak.. Kalau ada rasa simpati tak mungkin, kes memali terjadi..?
BalasPadam