1. Semua pihak di kalangan umat Islam
adalah wajib menerima kewajiban melaksanakan syariat tanpa menuding jari
atau menuduh atau melekehkan di antara satu sama lain. Perlu diingati
bahawa perkara yang berkait dengan "ikhlas" adalah urusan Allah, bukan
urusan kita.
2. Allah telah menegaskan wujudnya berbagai lapisan dan peringkat di kalangan umat Islam. Baca dan fahamilah firman Allah SWT :
وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ
الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ
بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ (31) ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ
الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ
وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ
ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ (32) فاطر.
Maksudnya :
(31) Dan al-Quran yang Kami wahyukan
kepada mu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap
mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah
Maha mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya,
lagi Maha melihat dan memerhatikan.
(32) kemudian Kami jadikan al-Quran itu
diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba
kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya
sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya
ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului
(orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu
ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). [Surah Fathir]
3. Apa yang wajib ialah membetulkan
kefahaman dan menjelaskan terhadap salah faham dan kekeliruan terhadap
hukum Allah yang Maha Adil dan Bijaksana. Maka berdosa sekiranya kita
semua sibuk dengan perkara sampingan tersebut, iaitu dengan membahaskan
keikhlasan atau dengan memperlekehkan di antara satu sama lain.
4. Kita perlu juga ingati bahawa ada
kalangan yang hanya mengenali isu ini sebagai isu "hukum Hudud" atau
sebahagian daripada hukumnya sahaja, tanpa menyedari bahawa Hudud
sebenarnya hanya salah satu daripada cabang undang-undang Kanun Jenayah
Syariat Islam (II) yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan
pada tahun 1993. Fahamilah ilmu jenayah syariah Islam itu dalam
bentuknya yang lebih jelas seperti hudud, qisas dan takzir.
5. Setengahnya juga tidak ingin memahami kesempurnaan Islam dan hukumnya yang memberi petunjuk ke jalan yang benar tanpa menyekat kemampuan akal yang bijak dan hak asasi yang tidak melampau sehingga menghilangkan sifat kemanusiaan yang sebenar. Sehingga ada yang lebih bersimpati terhadap penjenayah, tanpa peduli terhadap mangsanya. Atau lebih melihat hak asasi binatang lebih daripada hak asasi manusia yang sebenarnya.
6. Sebenarnya kita wajib mengambil
hikmah dari para perunding kemerdekaan negara yang mewujudkan
Perlembagaan yang memberi ruang adanya hak hukum Syariat dan
undang-undang jenayahnya, sehingga menolak dakwaan halangan perlembagaan
terhadap wujudnya berbagai-bagai undang–undang dalam masyarakat majmuk.
7. Kewajipan umat Islam sendiri ialah
menafsirkan Islam yang sebenar yang wajib menjadi pegangan mereka dan
membuang saki baki sekatan penjajah dalam perlembagaan, kerana kita
telah mencapai kemerdekaan.
8. Kalangan bukan Islam pula sudah ada
hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan. Sepatutnya penganut Islam
menyedari hak mereka yang sebenar untuk percaya dan beramal dengan
ajaran Islam yang sebenar.
9. Fenomena yang berlaku diwaktu ini
ialah merebaknya penyakit jenayah yang menimpa seluruh rakyat tanpa
mengira kaum, khususnya jenayah berat, menandakan tidak ada kehebatan
undang – undang ciptaan manusia yang diamalkan sekarang. Adapun umat
Islam wajib kembali ke pangkal jalan kepada ajaran agama Islam yang
wajib diperkasakan. Ini adalah hak penganut Islam yang wajib dilindungi
oleh perlembagaan yang wajib adil terhadap semua.
10. Ada pun kebimbangan penganut bukan
Islam telah dijelaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Adapun
al-Quran ialah firman Allah:
فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ
أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ
شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ
يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (42) المائدة .
Maksudnya :
(42) oleh itu kalau mereka datang
kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau
berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu
sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka
dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berlaku adil.
11. Ayat ini menunjukkan, walau pun
berkait dengan penganut agama Yahudi Ahli kitab yang ada hukum hudud dan
qisas dalam kitab mereka, namun tidak dipaksakan ke atas mereka. Apa
lagi kepada penganut agama yang tidak ada undang –undang jenayahnya yang
tersendiri.
12. Imam Ibnu Kathir dan lain-lain
merekodkan bahawa perkara ini berlaku dalam masyarakat majmuk di awal
negara Islam. Maka mazhab Islam yang diamalkan dalam masyarakat majmuk
mengambil kira sejarah ini. Di antaranya mazhab Maliki, Hanafi dan
kalangan mazhab Syafe'i dan mazhab yanag lain. Perkara ini termasuk
dalam konsep tidak ada paksaan dalam agama.
13. Adapun dakwaan tidak adil terhadap
penganut Islam adalah sebenarnya berpunca daripada kejahilan, sehingga
salah faham terhadap ajaran agama sendiri, kerana tidak menyedari hikmah
kehebatan undang-undang yang menggerunkan sehingga kadar jenayah
menurun dan akhirnya hapus di kalangan penganut Islam. Adalah salah
akal, sekiranya memahami bahawa rakyat akan berlumba untuk mencuri
supaya dipotong tangan dan kaki, apa yang sebenarnya berlaku ramai
kalangan para penjenayah akan bertaubat.
14. Wajib difahami, bahawa undang-undang
jenayah Islam lebih bersifat mendidik daripada menghukum, kerana adanya
syarat-syarat yang sangat menyusahkan bagi menjatuhkan hukuman Qisas
dan Hudud yang dinaskan dan lebih banyak ruang kepada hukuman Takzir
yang lebih ringan dan dengan mendidik. Dalam masa yang sama hakim
diminta mencari jalan untuk membebaskan, sama ada daripada kefahamannya
sendiri atau bantuan para peguam, dengan meneliti segala keterangan
saksi dan lain-lain, disertakan dengan ayat al-Quran dan Hadis yang
lebih menggalak bertaubat kepada Allah dan memaafkan di luar mahkamah.
Sabda Rasulullah SAW
تدرأ الحدود بالشبهات
(Hukum hudud ditolak dengan adanya kekeliruan )
15. Kekeliruan yang wujud semasa
perbicaraan adalah meliputi sama ada wjudnya unsur paksaan, kejahilan
tegar, atau fitnah dalam sesuatu kes itu. Dalam hal ini Imam Malik
menegaskan :
"Sekiranya ada satu unsur kekeliruan daripada sembilan
puluh sembilan bukti yang sahih maka tidak boleh dijatuhkan hukuman.
Sabda Rasulullah S.A.W. :
"Kesilapan hakim membebaskan orang yang dituduh lebih baik
daripada kesilapan menjatuhkan hukuman"
16. Kalangan penentang pelaksanaan
Syariat sengaja memilih aspek Hudud dan khususnya isu memotong tangan
pencuri dan perompak dan mencacatkan anggota menjadi ruang untuk
menyerang undang-undang syariat Allah yang dinaskan, tanpa menghormati
hak mangsa jenayah dan lebih mempertahankan penjenayah yang sangat
zalim.
17. Hudud dan Qisas adalah hukum jenayah
yang dinaskan dalam Al Quran dan Hadis, di mana sejumlah kecil sahaja
yang disenaraikan, hanya dalam perkara yang tidak mungkin diselesaikan
oleh akal manusia, maka Allah memberi petunjuk dengan rahmatnya. Ada
juga yang boleh dikeluarkan daripada senarai Hudud kerana adanya
kalangan ulama yang tidak mengiranya kerana nas yang bersifat umum. Ada
perkara lain yang tidak terkiranya banyaknya, maka Allah mengizinkan
kebijaksanaan manusia dan pengalamannya.
18. Cukuplah dengan akibat tidak mampu
mengatasi jenayah khususnya keganasan dan moral yang memusnahkan
kehidupan manusia. Bagi penganut Islam, keizinan ini menjadi sempadan
aqidah yang besar, kerana firman Allah memberi amaran :
مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ
نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ
مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ (20) أَمْ لَهُمْ
شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ
وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ
لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21 ) الشورى .
(20) Sesiapa yang menghendaki (dengan
amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat
tambahan pada faedah yang dikehendakiNya; dan sesiapa yang menghendaki
(dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri
kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar Yang Kami tentukan), dan ia
tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
(21) Patutkah mereka mempunyai
sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka -
sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah
tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk
menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah
dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat
demikian). dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
19. Kerajaan negeri Kelantan di bawah
PAS sepenuhnya sejak tahun 1990. Undang –undang jenayah syariat
dikemukakan mengikut proses siyasah syariah, politik Demokrasi dan
pengurusannya. Setelah disusun oleh pakar Syariah dan perundangan moden,
ianya di bawa terlebih dahulu kepada umum dengan jemputan kepada semua
parti politik, NGO Islam dan bukan Islam untuk mendengar dan memberi
penjelasan kepada semua pihak. Selepas ini selesai, baharulah ianya
dibawa kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan, kemudiannya Terengganu dan
berlakulah polemik ilmu secara terbuka selepas dari itu.
20. Oleh kerana PAS terus memimpin di
Kelantan, maka PAS memilih Kelantan sahaja, dan PAS wajib menerima
secara positif terhadap semua pihak yang bersedia menerimanya dan
bersedia memberi penjelasan terbuka atau tertutup kepada semua pihak
yang masih ragu atau tidak faham hakikatnya yang sebenar. Marilah kita
menjelas dan menyatakan Islam adalah rahmat kepada seluruh manusia.
PRESIDEN PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan