Cabang

Rabu, 18 Mei 2011

Ke mana minyak RON-RON dilarikan Lanun ?


KUALA LUMPUR, 17 Mei: PAS mengharapkan kerajaan jangan menjadi alasan untuk menindas rakyat dengan mengurangkan subsidi sehingga mengakibatkan kenaikan harga barang keperluan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang merungut kerajaan telah mengunjurkan kadar subsidi bagi tahun ini mencecah RM20.58 bilion berbanding RM10.32 bilion tahun lalu.

Menurut Muhyiddin, RM18 bilion daripada unjuran tahun ini adalah khusus untuk sektor berkaitan minyak seperti subsidi RON95, diesel dan gas memasak LPG berbanding RM8 bilion untuk kegunaan itu pada tahun lalu.

“PAS telah menjangka ini adalah alasan untuk kerajaan menaikkan minyak RON95 yang digunakan oleh kebanyakan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, kenapa kerajaan perlu mengeluh mengenai hal ini, apakah kerajaan sudah tidak mempunyai antibodi untuk memikirkan bagi kebahagiaan rakyat sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat yang mempunyai kekangan kewangan setiap saat memikirkan bagaimana untuk menyenangkan rakyat.

Katanya, Kelantan negeri yang sering didendangkan negeri miskin walaupun hakikatnya tidak, telah mencari dana untuk merakyatkan ekonomi dengan skim kifalah untuk warga emas dengan perbelanjaan tahunan sebanyak RM7 juta, skim al-ziwaj (bantuan perkahwinan) RM1.5 juta , skim it’am (bantuan beras kepada orang miskin).

“Inilah contoh kepimpinan rakyat yang prihatin kepada rakyat dengan memikirkan bagaimana untuk beri kepada rakyat bukan memikir untuk ambil hak rakyat.

“Kenapa kerajaan hanya hendak menyalahkan subsidi sehingga kerajaan rasa terbeban dengan pemberian subsidi kepada rakyat?” soalnya.

Justeru, ujarnya PAS ingin mengingatkan kepada pemimpin BN, tugas pemimpin (menteri) ialah khadam rakyat, bukan tuan rakyat.

Katanya, khadam yang dibayar dengan imbuhan yang besar setiap bulan tidak kurang RM50,000 mestilah berbaloi untuk memikirkan bagaimana untuk menyenangkan rakyat.

Menurutnya, rakyat tidak cemburu dengan imbuhan yang diperolehi, dengan syarat mestilah dibayar dengan pembelaan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang sepatutnya, bukan dengan menaikkan cukai dan mengurangkan subsidi.

Baginya, jika tugas sebagai pemimpin hanya untuk ambil gaji dan beku otak untuk fikir menyelesaikan masalah rakyat, maka lebih baik diberi kuasa kepada mereka yang buta huruf.

Apa tidaknya, kata beliau gaji diambil, pembaziran dan ketirisan dibiarkan, apabila kerajaan tidak ada wang maka dibeban kepada rakyat.

“Kenapa jalan pintas yang diambil untuk tarik subsidi sehingga barang keperluan rakyat naik mendadak?

“Kenapa pemimpin BN tidak memerangi rasuah dan pembaziran?” soalnya lagi

Pemimpin BN, katanya tidak pernah mengambil nasihat dan memperbaiki segala teguran yang diberi setiap tahun seperti pembaziran dan ketirisan.

Tambahnya, teguran Ketua Audit Negara seperti negara kehilangan wang sebanyak RM28 bilion kerana ketirisan, sebanyak RM888 bilion wang haram hilang daripada negara perkara ini yang perlu diselesai dahulu.

“Sebelum potong subsidi rakyat kena potong dulu projek yang tidak menguntungkan majoriti rakyat seperti Menara Merdeka 100 tingkat (RM5 bilion), upah APCO Yahudi RM77 juta setahun, subsidi untuk IPP sebanyak RM 19 bilion setahun, Permata RM111 juta setahun,” ujarnya.

Soalnya, ke mana wang cukai Petronas yang diberi sejak 2007-2010 sebanyak RM325 bilion (hitung panjang setiap tahun kerajaan dapat RM80.1 bilion).

Beliau menambah, jika RM20 bilion diambil untuk subsidi maka terdapat lagi lebihan untuk perkara lain, tidak termasuk hasil getah, sawit, mutiara, balak, silikon dan sebagainya.

Persoalannya, kata beliau kenapa pemimpin negeri Pakatan Rakyat mampu. “Jawapannya kerana ada nilai amanah dan kesungguhan untuk rakyat,” ujarnya

sumber harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

cetusan ranting 1 (terkini)